19 PRODUK DAN PERKHIDMATAN TEKNOLOGI NUKLEAR DIKOMERSIALKAN, TPS 2026 PERKUKUH KERJASAMA INDUSTRI
BANGI, 28 OKTOBER 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh usaha pengkomersialan hasil penyelidikan teknologi nuklear dengan merekodkan 19 produk dan perkhidmatan yang telah dikomersialkan, 44 perjanjian pengkomersialan serta 41 kolaborasi bersama pelanggan industri bagi tempoh 2023 hingga 2026.

Pencapaian ini diketengahkan menerusi penganjuran Hari Inovasi Nuklear Malaysia (HINM) dan Technology Preview & Showcase (TPS) 2026 pada 28 hingga 29 Oktober 2026 yang menjadi platform untuk memperkenalkan teknologi tempatan serta memperluas kerjasama antara penyelidik, industri dan agensi kerajaan. Antara produk yang telah dikomersialkan termasuk benih padi NMR152, produk biobaja, UVGI LembayUVng dan NuRust yang dimanfaatkan dalam sektor pertanian, kesihatan dan industri. Usaha ini membuktikan potensi penyelidikan sains dan teknologi nuklear dalam menghasilkan penyelesaian praktikal yang memenuhi keperluan pasaran.

Menurut YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, nilai eksport produk tempatan berkaitan teknologi nuklear mencecah RM6.21 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025 sekali gus menunjukkan potensi ekonomi teknologi berkenaan. MOSTI akan terus memperkukuh kerjasama dengan industri bagi mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan memperluas pasaran teknologi tempatan ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, Nuklear Malaysia menyediakan pelbagai perkhidmatan teknikal kepada industri dengan kira-kira 2,200 pelanggan aktif dan purata 5,900 perkhidmatan teknikal setiap tahun, mencerminkan peranannya dalam menyokong pembangunan industri negara.
HINM 2026 turut mengiktiraf kecemerlangan penyelidikan dan inovasi menerusi Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan, yang menerima lebih 50 penyertaan dengan 24 penyertaan berjaya ke peringkat akhir. Majlis turut menyaksikan pelancaran logo rasmi baharu anugerah tersebut. Bertemakan “Nuklear Untuk Rakyat (NUR)”, program selama dua hari ini turut menampilkan pameran teknologi, sesi padanan perniagaan Nuklear Malaysia BizMatch, klinik harta intelek, lawatan ke fasiliti penyelidikan, program advokasi nuklear serta aktiviti interaktif bersama pelajar sekolah.
Penganjuran HINM dan TPS 2026 selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dalam memperkukuh penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) bagi memastikan manfaat teknologi nuklear terus menyumbang kepada kemajuan industri, kesejahteraan masyarakat dan pertumbuhan ekonomi negara.
Turut hadir YBhg. Dato' Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Teknologi (MOSTI) & YBhg. Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan Sains (MOSTI).












