• PORTAL RASMI AGENSI NUKLEAR MALAYSIA

img

BANGI, 28 OKTOBER 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh usaha pengkomersialan hasil penyelidikan teknologi nuklear dengan merekodkan 19 produk dan perkhidmatan yang telah dikomersialkan, 44 perjanjian pengkomersialan serta 41 kolaborasi bersama pelanggan industri bagi tempoh 2023 hingga 2026.

Pencapaian ini diketengahkan menerusi penganjuran Hari Inovasi Nuklear Malaysia (HINM) dan Technology Preview & Showcase (TPS) 2026 pada 28 hingga 29 Oktober 2026 yang menjadi platform untuk memperkenalkan teknologi tempatan serta memperluas kerjasama antara penyelidik, industri dan agensi kerajaan. Antara produk yang telah dikomersialkan termasuk benih padi NMR152, produk biobaja, UVGI LembayUVng dan NuRust yang dimanfaatkan dalam sektor pertanian, kesihatan dan industri. Usaha ini membuktikan potensi penyelidikan sains dan teknologi nuklear dalam menghasilkan penyelesaian praktikal yang memenuhi keperluan pasaran.

Menurut YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, nilai eksport produk tempatan berkaitan teknologi nuklear mencecah RM6.21 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025 sekali gus menunjukkan potensi ekonomi teknologi berkenaan. MOSTI akan terus memperkukuh kerjasama dengan industri bagi mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan memperluas pasaran teknologi tempatan ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, Nuklear Malaysia menyediakan pelbagai perkhidmatan teknikal kepada industri dengan kira-kira 2,200 pelanggan aktif dan purata 5,900 perkhidmatan teknikal setiap tahun, mencerminkan peranannya dalam menyokong pembangunan industri negara.

HINM 2026 turut mengiktiraf kecemerlangan penyelidikan dan inovasi menerusi Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan, yang menerima lebih 50 penyertaan dengan 24 penyertaan berjaya ke peringkat akhir. Majlis turut menyaksikan pelancaran logo rasmi baharu anugerah tersebut. Bertemakan “Nuklear Untuk Rakyat (NUR)”, program selama dua hari ini turut menampilkan pameran teknologi, sesi padanan perniagaan Nuklear Malaysia BizMatch, klinik harta intelek, lawatan ke fasiliti penyelidikan, program advokasi nuklear serta aktiviti interaktif bersama pelajar sekolah.

Penganjuran HINM dan TPS 2026 selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dalam memperkukuh penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) bagi memastikan manfaat teknologi nuklear terus menyumbang kepada kemajuan industri, kesejahteraan masyarakat dan pertumbuhan ekonomi negara.

Turut hadir YBhg. Dato' Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Teknologi (MOSTI) & YBhg. Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan Sains (MOSTI).

img

BANGI, 28 Oktober 2026 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima kunjungan hormat daripada YH Dato' Ali Syahbana bin Sabaruddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Pahang merangkap Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang.Ketibaan beliau disambut oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.

Kunjungan ini bertujuan untuk bertukar pandangan serta potensi cadangan kerjasama di antara Nuklear Malaysia dan Kerajaan Negeri Pahang dalam bidang teknologi nuklear terutamanya di bawah Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030.

Pertemuan ini turut menjadi platform bagi membincangkan perkara berkaitan kajian tersebut serta memperkukuh penyelarasan dan kerjasama antara Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Nuklear Malaysia.

Turut hadir ialah barisan pengurusan tertinggi Nuklear Malaysia, pengarah-pengarah bahagian serta pegawai daripada MOSTI dan Nuklear Malaysia.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan kerjasama antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri bagi menyokong pelaksanaan agenda pembangunan teknologi nuklear negara secara terancang dan bertanggungjawab.

Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R.)

 

img

MACHANG, 24 OKTOBER 2026– Program Kampung Angkat MADANI Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) bukan sahaja menjadi platform untuk mendekati masyarakat malah turut menyemarakkan semangat gotong-royong melalui aktiviti membersihkan kawasan tanah perkuburan di Kampung Pemanok, Batu 31, Machang, Kelantan.

Aktiviti ini melibatkan kerjasama warga Nuklear Malaysia bersama-sama penduduk setempat dalam membersihkan kawasan tanah perkuburan bagi memastikan persekitarannya sentiasa bersih serta terjaga.

YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia turut serta menyertai aktiviti tersebut dan mengambil kesempatan untuk menyantuni penduduk kampung. Sesi gotong-royong itu menjadi ruang untuk beliau beramah mesra dengan masyarakat setempat dalam suasana santai sekali gus mengeratkan hubungan antara agensi dengan komuniti.

Semangat kerjasama yang ditunjukkan sepanjang aktiviti ini mencerminkan kepentingan sikap saling membantu dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan serta kemudahan yang menjadi kepentingan masyarakat.

Melalui Program Kampung Angkat MADANI, Nuklear Malaysia berharap hubungan yang terjalin dengan penduduk Kampung Pemanok dapat terus diperkukuh menerusi aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti. Pendekatan turun padang seperti ini juga membuktikan bahawa peranan agensi kerajaan bukan sahaja tertumpu pada bidang kepakaran masing-masing tetapi turut merangkumi usaha menyantuni masyarakat dan menyumbang kepada kesejahteraan setempat.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R) yang membawa komitmen Nuklear Malaysia untuk terus mendekati rakyat dan menjadi sebahagian daripada komuniti.

Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R)

 

img

MACHANG, 24 OKTOBER 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Pemanok, Batu 31, Machang, Kelantan yang menggabungkan usaha pembangunan komuniti dengan advokasi sains dan teknologi nuklear.

Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Agensi Nuklear Malaysia telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.

Menerusi inisiatif ini, Nuklear Malaysia bekerjasama dengan Majlis Daerah Machang, Madrasah Haji Ismail, pemimpin setempat dan penduduk kampung bagi melaksanakan pelbagai projek penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan awam. Antara projek yang dilaksanakan termasuk penambahbaikan sistem saliran, pelebaran laluan ke tanah perkuburan, pembaikan struktur pembetung, pemasangan lampu solar, pembaikan pagar tanah perkuburan, penggerudian sumber air tambahan, pembinaan wakaf serta penyediaan mercu tanda Kampung Angkat MADANI.

Pelaksanaan projek-projek ini diharap dapat meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk, selain mewujudkan persekitaran kampung yang lebih teratur, kondusif dan mesra komuniti.

Selain memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, program ini turut menjadi platform untuk mendekatkan sains, teknologi dan inovasi kepada masyarakat. Menerusi pameran produk dan perkhidmatan Nuklear Malaysia serta aktiviti interaktif berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pengunjung khususnya golongan muda, berpeluang mengenali dengan lebih dekat aplikasi teknologi nuklear dalam pelbagai bidang kehidupan.

Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dalam memperluas pemahaman masyarakat tentang penggunaan teknologi nuklear bagi tujuan aman, selamat dan bertanggungjawab.

Melalui Program Kampung Angkat MADANI, Nuklear Malaysia bukan sahaja menyumbang kepada penambahbaikan kemudahan setempat, malah memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang manfaat teknologi nuklear kepada negara dan rakyat.

Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Nuklear Malaysia dalam merealisasikan slogan "Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R)", selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina komuniti yang sejahtera, berdaya tahan dan progresif.

 

img

KUALA KRAI, KELANTAN, 21 OKTOBER 2026 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong pembangunan pendidikan negara menerusi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI 2026 dengan memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Chuchoh Puteri, Kuala Krai, Kelantan sebagai sekolah angkat bagi tahun ini. Komitmen tersebut dizahirkan menerusi Majlis Sekolah Angkat MADANI Nuklear Malaysia dan Karnival STEM Peringkat Daerah Kuala Krai, Kelantan yang berlangsung hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan dengan institusi pendidikan dalam meningkatkan kemudahan pembelajaran serta membangunkan potensi murid secara menyeluruh.

Di bawah Program Sekolah Angkat MADANI 2026, peruntukan asas sebanyak RM100,000 bagi setiap sekolah disediakan oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah disediakan bagi menyokong penambahbaikan prasarana serta pelaksanaan inisiatif pembangunan murid dan guru di SK Chuchoh Puteri.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk pengubahsuaian sebuah bilik darjah menjadi hab pembelajaran STEM yang dinamakan Bilik Nuklear SePUTERI, penyediaan tiga unit televisyen pintar bagi menyokong proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc), pelaksanaan program peningkatan kemahiran digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk guru, serta program kesedaran berkaitan buli dan salah laku seksual dalam kalangan murid.

Inisiatif ini bukan sahaja menambah baik kemudahan fizikal sekolah, malah membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, menyokong keberkesanan PdPc dan merangsang minat murid terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Penganjuran Karnival STEM Peringkat Daerah Kuala Krai turut melengkapkan usaha tersebut dengan menyediakan platform pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan. Melalui pendedahan kepada ilmu sains dan teknologi, murid berpeluang mengembangkan kreativiti, memperkukuh pemikiran kritis serta memupuk sifat ingin tahu terhadap bidang STEM sejak peringkat sekolah.

Nuklear Malaysia berharap agar kerjasama strategik yang terjalin bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Krai, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat dapat diteruskan bagi memastikan manfaat program ini dapat dinikmati secara berterusan.

Usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem pendidikan yang inklusif dan mampan, di samping menyokong pembangunan modal insan yang berilmu, berkemahiran, berfikiran kreatif dan berdaya saing. Ia turut mencerminkan peranan Nuklear Malaysia dalam memperluas manfaat sains dan teknologi kepada masyarakat, selaras dengan slogan Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R).

Turut hadir ialah YBrs. Puan Hajah Siti Norina binti Muhamad, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan; YBrs. Dr. Shukri bin Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan, Nuklear Malaysia, YBrs. Encik Mohd Fazli bin Abdul Manaf, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Krai, dan YBrs. Encik Iskandar bin Ismail, Guru Besar SK Chuchoh Puteri.

 

img

 

  

 

 


BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL! 

Bahasa Tepat, Sains Hebat!

Dalam dunia sains dan teknologi, ketepatan merupakan asas kepada penyelidikan, analisis dan penyampaian maklumat. Begitu juga dalam penggunaan bahasa, setiap istilah dan ayat perlu digunakan dengan betul agar ilmu dapat disampaikan secara jelas, tepat dan berkesan.

Sebagai agensi yang menerajui penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains dan teknologi nuklear, Nuklear Malaysia turut mendukung usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi sains.

Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan, marilah kita bersama-sama membetulkan penggunaan bahasa yang kurang tepat, membiasakan amalan berbahasa yang betul dan memperkukuh budaya komunikasi berkualiti dalam setiap urusan.

Tepat dalam Sains, Betul dalam Bahasa, Hebat untuk Negara!

#NuklearMalaysia #BulanBahasaKebangsaan #BetulkanYangBiasaBiasakanYangBetul #BahasaTepatSainsHebat #BahasaJiwaBangsa