AGENSI NUKLEAR MALAYSIA PERKASA PENDIDIKAN STEM MELALUI PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI
KUALA KRAI, KELANTAN, 21 OKTOBER 2026 - Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong pembangunan pendidikan negara menerusi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI 2026 dengan memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Chuchoh Puteri, Kuala Krai, Kelantan sebagai sekolah angkat bagi tahun ini. Komitmen tersebut dizahirkan menerusi Majlis Sekolah Angkat MADANI Nuklear Malaysia dan Karnival STEM Peringkat Daerah Kuala Krai, Kelantan yang berlangsung hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan dengan institusi pendidikan dalam meningkatkan kemudahan pembelajaran serta membangunkan potensi murid secara menyeluruh.
Di bawah Program Sekolah Angkat MADANI 2026, peruntukan asas sebanyak RM100,000 bagi setiap sekolah disediakan oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah disediakan bagi menyokong penambahbaikan prasarana serta pelaksanaan inisiatif pembangunan murid dan guru di SK Chuchoh Puteri.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk pengubahsuaian sebuah bilik darjah menjadi hab pembelajaran STEM yang dinamakan Bilik Nuklear SePUTERI, penyediaan tiga unit televisyen pintar bagi menyokong proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc), pelaksanaan program peningkatan kemahiran digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk guru, serta program kesedaran berkaitan buli dan salah laku seksual dalam kalangan murid.
Inisiatif ini bukan sahaja menambah baik kemudahan fizikal sekolah, malah membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, menyokong keberkesanan PdPc dan merangsang minat murid terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Penganjuran Karnival STEM Peringkat Daerah Kuala Krai turut melengkapkan usaha tersebut dengan menyediakan platform pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan. Melalui pendedahan kepada ilmu sains dan teknologi, murid berpeluang mengembangkan kreativiti, memperkukuh pemikiran kritis serta memupuk sifat ingin tahu terhadap bidang STEM sejak peringkat sekolah.

Nuklear Malaysia berharap agar kerjasama strategik yang terjalin bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Krai, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat dapat diteruskan bagi memastikan manfaat program ini dapat dinikmati secara berterusan.
Usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem pendidikan yang inklusif dan mampan, di samping menyokong pembangunan modal insan yang berilmu, berkemahiran, berfikiran kreatif dan berdaya saing. Ia turut mencerminkan peranan Nuklear Malaysia dalam memperluas manfaat sains dan teknologi kepada masyarakat, selaras dengan slogan Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R).
Turut hadir ialah YBrs. Puan Hajah Siti Norina binti Muhamad, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan; YBrs. Dr. Shukri bin Mohd, Pengarah Kanan Program Pengurusan, Nuklear Malaysia, YBrs. Encik Mohd Fazli bin Abdul Manaf, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Krai, dan YBrs. Encik Iskandar bin Ismail, Guru Besar SK Chuchoh Puteri.












