post-image

NUKLEAR MALAYSIA PERKASA KOMUNITI, PERLUAS ADVOKASI NUKLEAR MELALUI PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI

MACHANG, 24 OKTOBER 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Pemanok, Batu 31, Machang, Kelantan yang menggabungkan usaha pembangunan komuniti dengan advokasi sains dan teknologi nuklear.

Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Agensi Nuklear Malaysia telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.

Menerusi inisiatif ini, Nuklear Malaysia bekerjasama dengan Majlis Daerah Machang, Madrasah Haji Ismail, pemimpin setempat dan penduduk kampung bagi melaksanakan pelbagai projek penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan awam. Antara projek yang dilaksanakan termasuk penambahbaikan sistem saliran, pelebaran laluan ke tanah perkuburan, pembaikan struktur pembetung, pemasangan lampu solar, pembaikan pagar tanah perkuburan, penggerudian sumber air tambahan, pembinaan wakaf serta penyediaan mercu tanda Kampung Angkat MADANI.

Pelaksanaan projek-projek ini diharap dapat meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk, selain mewujudkan persekitaran kampung yang lebih teratur, kondusif dan mesra komuniti.

Selain memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, program ini turut menjadi platform untuk mendekatkan sains, teknologi dan inovasi kepada masyarakat. Menerusi pameran produk dan perkhidmatan Nuklear Malaysia serta aktiviti interaktif berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pengunjung khususnya golongan muda, berpeluang mengenali dengan lebih dekat aplikasi teknologi nuklear dalam pelbagai bidang kehidupan.

Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dalam memperluas pemahaman masyarakat tentang penggunaan teknologi nuklear bagi tujuan aman, selamat dan bertanggungjawab.

Melalui Program Kampung Angkat MADANI, Nuklear Malaysia bukan sahaja menyumbang kepada penambahbaikan kemudahan setempat, malah memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang manfaat teknologi nuklear kepada negara dan rakyat.

Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Nuklear Malaysia dalam merealisasikan slogan "Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R)", selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina komuniti yang sejahtera, berdaya tahan dan progresif.