KETUA PENGARAH AGENSI NUKLEAR MALAYSIA SANTUNI KOMUNITI KAMPUNG PEMANOK MELALUI GOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN TANAH PERKUBURAN
MACHANG, 24 OKTOBER 2026– Program Kampung Angkat MADANI Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) bukan sahaja menjadi platform untuk mendekati masyarakat malah turut menyemarakkan semangat gotong-royong melalui aktiviti membersihkan kawasan tanah perkuburan di Kampung Pemanok, Batu 31, Machang, Kelantan.
Aktiviti ini melibatkan kerjasama warga Nuklear Malaysia bersama-sama penduduk setempat dalam membersihkan kawasan tanah perkuburan bagi memastikan persekitarannya sentiasa bersih serta terjaga.

YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia turut serta menyertai aktiviti tersebut dan mengambil kesempatan untuk menyantuni penduduk kampung. Sesi gotong-royong itu menjadi ruang untuk beliau beramah mesra dengan masyarakat setempat dalam suasana santai sekali gus mengeratkan hubungan antara agensi dengan komuniti.
Semangat kerjasama yang ditunjukkan sepanjang aktiviti ini mencerminkan kepentingan sikap saling membantu dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan serta kemudahan yang menjadi kepentingan masyarakat.

Melalui Program Kampung Angkat MADANI, Nuklear Malaysia berharap hubungan yang terjalin dengan penduduk Kampung Pemanok dapat terus diperkukuh menerusi aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti. Pendekatan turun padang seperti ini juga membuktikan bahawa peranan agensi kerajaan bukan sahaja tertumpu pada bidang kepakaran masing-masing tetapi turut merangkumi usaha menyantuni masyarakat dan menyumbang kepada kesejahteraan setempat.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R) yang membawa komitmen Nuklear Malaysia untuk terus mendekati rakyat dan menjadi sebahagian daripada komuniti.
Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R)